

Antara sesi menarik yang dikendalikan termasuklah Pengenalan kepada Harta Intelek, Proses Permohonan dan Penyediaan draf permohonan hakcipta/paten oleh Dr. Muaz bin Mohd Zaini Makhtar dan Pn. Hartini binti Alias daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (CIC, USM). Program juga diisi dengan sesi perkongsian pengalaman oleh pensyarah PPSP yang telah berjaya memperoleh paten termasuklah Prof. Dr. Chan Yean Yean, Dr. Zulkifli Mustafa, dan Dr. Tuan Noorkorina Tuan Kub.

Pusat Pengajian Sains Perubatan, 5 Ogos 2025 – Jawatankuasa Latihan, Unit Pengurusan Strategik dan Kualiti (UPS-Q), PPSP, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Bengkel Permohonan Harta Intelek (Hakcipta dan Paten) sebagai satu inisiatif untuk memperkasa para penyelidik dalam aspek perlindungan hasil penyelidikan dan inovasi secara lebih cekap, terancang dan mematuhi garis panduan semasa.
Bengkel sehari ini telah dihadiri seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) yang aktif dalam bidang penyelidikan dan inovasi (R&I). Objektif utama bengkel ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap asas permohonan hakcipta dan paten, tatacara penyediaan dokumen, pengurusan cabaran yang lazim dihadapi, strategi kejayaan, serta memahami kepentingan perlindungan harta intelek dalam menyokong agenda penyelidikan universiti dan pencapaian Indikator Prestasi Utama (KPI).


Sepanjang bengkel, peserta menunjukkan penglibatan aktif melalui sesi soal jawab, perkongsian pandangan, dan perbincangan bersama penceramah. Sesi hands-on menjadi kemuncak apabila beberapa peserta berjaya menyiapkan serta menghantar permohonan harta intelek mereka sejurus bengkel berakhir.
Dengan pelaksanaan bengkel ini, pihak penganjur berharap agar lebih ramai penyelidik PPSP mengambil langkah proaktif dalam memohon perlindungan harta intelek, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekosistem penyelidikan, inovasi dan komersialisasi di USM.
